Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Teladan. Show all posts

Wednesday, December 14, 2011

Katak Kecil

Pada suatu hari ada segerombolan katak kecil yang menyertai acara lumba lari. Tujuannya adalah untuk mencapai puncak sebuah menara yang sangat tinggi .

Penonton berkumpul bersama mengelilingi menara untuk menyaksikan perlumbaan dan memberi semangat kepada para peserta...

Perlumbaan pun dimulakan...

Secara jujur, tiada satupun penonton yang benar-benar percaya bahawa katak-katak kecil itu mampu mencapai puncak menara.

Terdengar suara: "Oh, jalannya terlalu sulitttt!!” “Mereka TIDAK AKAN PERNAH sampai ke puncak!!" atau "Tidak ada kesempatan untuk berhasil...Menaranya terlalu tinggi...!!”

Katak-katak kecil mulai berjatuhan…satu persatu...

... Kecuali mereka yang tetap semangat menaiki menara perlahan-lahan…semakin tinggi...dan semakin tinggi..

Penonton terus bersorak, "Terlalu sulit!!! Tak seekor pun akan berhasil!"

Lebih banyak lagi katak kecil lelah dan menyerah...

...Tapi ada SATU yang melanjutkan hingga semakin tinggi dan tinggi...Dia tak akan menyerah!

Akhirnya yang lain telah menyerah untuk menaiki menara. Kecuali satu katak kecil yang telah berusaha keras menjadi satu-satunya yang berhasil mencapai puncak!

SEMUA katak kecil yang lain ingin tahu bagaimana katak ini mampu melakukannya?

Seekor peserta bertanya bagaimana cara katak yang berhasil menemukan kekuatan untuk mencapai tujuan?

Ternyata...Katak yang menjadi pemenang itu TULI!!!!

--------------------------------------------------------------------------

Pengajaran dari cerita ini adalah:

Jangan mendengar kata-kata orang lain yang mempunyai kecenderungan negatif ataupun pesimis...

...Kerana mereka mengambil sebahagian besar mimpimu dan menjauhkannya darimu.

Selalu fikirkan kata-kata bertuah yang ada kerana segala sesuatu yang kau dengar dan kau baca bisa mempengaruhi perilakumu!

Kerana itu: Tetaplah selalu.....POSITIF!

Dan yang terpenting: Berlakulah TULI jika orang berkata kepadamu bahawa KAMU tidak bisa menggapai cita-citamu!

Selalulah berfikir: I CAN DO THIS!

Monday, October 17, 2011

Mana Mak...

Jam 6.30 petang.

Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bongsu balik dari sekolah agama.

Ayah baru balik dari sawah.

Ayah tanya Mak, “Along mana?’

Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”

Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”

Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”

Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”

Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam”

Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”

Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”

Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

----------------------------------------

Dua puluh tahun kemudian...

Jam 6.30 petang

Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.

Ayah tanya Along, “Mana Mak?”

Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”

Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”

Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”

Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”

Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.

Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”

Alang tidak jawab. Alang hanya menggoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.

Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"

Tiba-tiba adik bongsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”

Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.

Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.

Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya "Mana Mak?"

Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak.

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.

Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua-dua bibir Mak diketap rapat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.

Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.

Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."

Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagaimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamad. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.

Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.

Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.

Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.

Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.

Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.

Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.

Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.

Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

----------------------------------------

Beberapa tahun kemudian...

Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.

Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”

Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.

Dalam esakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..

Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.

Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,

"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.

Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?"

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."

"Ayah, ayah ....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..

Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"

Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.

----------------------------------------

Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa perasaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw, ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telefon panggilan dari ibu tanpa berjawab?

Ps: Ingat, kita cuma ada 1 sahaja ibu dan ayah di dunia ini. Jangan sampai apabila mereka sudah tiada, barulah kita hendak menangis.

Thursday, March 3, 2011

Qudus Si tukang Masak

Qudus sangat gembira. Dia baru saja lulus dengan cemerlang dari sebuah sekolah memasak. Dia terus mendapat tawaran bekerja sebagai tukang masak di sebuah istana. Setelah memohon doa restu daripada ibunya, dia berangkat ke istana tersebut. Setibanya di sana, dia bertemu dengan dua orang tukang masak lulusan dari sekolah memasak yang terbaik. Mereka memulakan tugas pertama mereka.

Qudus bertugas menyiapkan makanan utama. Kedua kawannya itu menyiapkan makanan pembuka dan penutup. Khalif, ketua tukang masak, memerhatikan hasil kerja mereka. Dia mengangguk-angguk sewaktu melewati dua orang kawan Qudus. Namun ketika melihat hasil masakan Qudus, dia berhenti dan mengerutkan keningnya.

“Ramuan kari kamu terlalu sikit. Hiasannya juga terlalu lama di dalam peti sejuk. Sudah lembik,” cemuh ketua tukang masak yang sudah tua itu.

Qudus diam tidak menjawab. Wajahnya pucat lesi.

“Dengar baik-baik! Istana ini hanya perlu seorang tukang masak yang benar-benar berbakat. Ingat! Hanya seorang! Berhati-hatilah!” bentaknya.

Qudus tertunduk malu, sedangkan kedua rakannya tersenyum penuh kemenangan. Sejak hari itu, hari-hari Qudus hanya dipenuhi dengan penghinaan. Tomatonya terlalu merah, piringnya terlalu lonjong, ayam belanda panggangnya kurang satu minit, dan banyak lagi kesalahan yang seolah-olah sengaja dicari.

Qudus sangat sedih. Hancurlah impian ibunya untuk melihat dia menjadi tukang masak yang berjaya. Qudus tidak tahan lagi. Dia nekad lari dari istana dan pulang ke rumah ibunya.

“Ibu!” Qudus memeluk ibunya dengan perasaan menyesal kerana telah mengecewakannya.

“Apa yang terjadi pada kamu, nak?” tanya ibunya lembut.

“Ketua tukang masak membenci saya sejak awal. Dia sering saja mencela hasil pekerjaan saya. Saya tak tahan lagi ibu.Saya akan mengundurkan diri daripada menjadi tukang masak istana,” jelas Qudus sedih.

Ibunya tersenyum mengerti. Dia membelai kepala Qudus dengan penuh kasih sayang.

“Anakku, apabila kamu sudah membawa kereta yang ditarik oleh seekor kuda dan seekor kambing, mana satu yang akan kamu pukul supaya kereta berlari lebih kencang?”

Qudus terkejut mendengarnya. Meskipun hairan, Qudus menjawab “Tentu saja kuda ibu. Kerana kuda jauh lebih pandai dan kuat dibandingkan dengan kambing. Apa maksud ibu sebenarnya?”

“Anakku, itu sebabnya ketua tukang masak mendidik kamu lebih keras dari yang lain. Kerana kamulah yang terbaik di antara mereka,” ujar ibunya waras.

Qudus tertegun sejenak kemudian tersenyum. Sejurus kemudian, dia pun bangun dengan bersemangat. “Kalau begitu, saya pergi dulu ya, ibu,”

Sekembalinya ke istana tersebut, Qudus menjadi jauh lebih bersemangat. Apapun yang dikatakan oleh Khalif, diterimanya dengan senang hati. Ketua tukang masak itu agak hairan, lalau bertanya. Qudus menceritakan apa yang telah dikatakan oleh ibunya.

“Ibu kamu benar. Ada orang yang dilahirkan untuk menjadi seorang tukang masak. Kamulah orangnya. Saya sudah tahu sejak kali pertama melihat masakan kamu. Yakinlah, orang seperti kamu sangat sukar ditemui. Belum tentu ada dalam setiap generasi. Saya sangat beruntung mendapat kamu, Qudus,” katanya. Ucapan Kahlif itu sangat jelas dan merdu di telinga Qudus.

Beberapa tahun kemudian, Qudus dilantik menjadi ketua tukang masak di istana tersebut menggantikan Khalif. Masakannya terkenal hingga ke pelosok negeri.

[Sumber: Majalah Pendidik, JAKIM]

Monday, February 28, 2011

Aku Tidak Akan Mengeluh

“Satu hari, aku berada di Baitul Haram. Muncul seorang wanita yang bersinar dan berseri-seri wajahnya. Demi Allah! Belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu. Mungkin wanita itu tidak pernah risau dan bersedih hati.”

Desis Abul Hasan, didengari wanita itu.

“Apakah benar yang kau katakan tadi saudaraku? Demi Allah! Aku ini hanya manusia biasa. Tetap terbelenggu oleh rasa sedih, terluka dan kecewa.”

Abul Hasan bertanya “Jika begitu, apakah perkara yang membuatkan engkau pernah bersedih?”

Kepada Abul Hasan, wanita itu menceritakan rentetan kisahnya yang menyayat hati.

Dahulu, aku punya seorang suami yang baik. Hidup kami bahagia dikelilingi tiga orang anak. Dua daripadanya sudah boleh bermain sendiri dan seorang lagi masih bayi. Hari itu, suami menyembelih kambing sebagai korban. Sedang aku memasak di dapur, anak sulungku berkata kepada adiknya.

“Adik, sukakah kamu kalau aku tunjukkan bagaimana caranya ayah menyembelih kambing?”

Adiknya menjawab, “Mahu, bagaimana?”

Lalu dia membaringkan adiknya dan disembelih leher adiknya itu. Setelah melihat darah yang berhamburan, anakku itu ketakutan lalu lari ke kawasan bukit. Suamiku yang bimbang terus pergi mencarinya. Beberapa hari berlalu, mereka masih tidak pulang. Aku terpaksa pula menyusul. Anakku yang masih bayi kutinggalkan di rumah sendirian.

Tiba di kawasan bukit, aku menemui suamiku yang sudah mati kehausan. Tidak lama kemudian aku temui cebisan baju anakku yang sudah dimakan serigala. Mereka telah mati. Aku pulang ke rumah dengan sedih. Sampai di rumah, aku melihat bayiku pula sudah ditimpa periuk berisi air panas. Habis melecur tubuhnya dan dia tidak lagi bernyawa. Sepeninggalanku tadi, bayi itu mungkin telah merangkak ke dapur dan ditimpa periuk itu.

Berita sedih ini kusampaikan kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Kerana terlalu terkejut, dia jatuh pengsan dan akhirnya meninggal dunia. Kematian seorang demi seorang orang yang kusayangi berlaku sekelip mata. Kini tinggal aku sebatang kara.

Abul Hassan yang mendengar kisah itu menyimpan rasa kagum. Dugaan yang diberi kepada wanita itu sangat berat. Kalau tidak kuat dan tabah, mungkin seseorang boleh menjadi gila atau membunuh diri sendiri. Manakan tidak? Kematian ahli keluarga berlaku dalam tempoh yang terlalu singkat dan bersangkut paut antara satu sama lain.

Abul Hassan bertanya, "Alangkah besarnya musibah yang kau terpaksa terima. Bagaimanakah engkau bersabar dengan ujian ini?”

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemui jalan yang berbeza di antara keduanya. Adapun sabar itu dengan memperbaiki yang lahir, ia adalah hal yang baik dan terpuji. Dan adapun mengeluh, maka kita tidak akan mendapat ganti melainkan sia-sia belaka. Aku tidak akan mengeluh dengan apa yang telah berlaku. Aku redha kehilangan mereka kerana mungkin itulah yang terbaik dari Allah SWT.”

Monday, January 24, 2011

Pahala Hajiku Di Depan Pintu

Setelah menunaikan ibadat haji, Abdullah bin Mubarak tertidur di Masjidil Haram. Dalam mimpinya, dia melihat dua orang malaikat turun daripada langit dan berlaku perbualan antara keduanya.

“Berapa ramai orang yang melakukan haji pada tahun ini?”

“Enam ratus ribu.”

“Berapa ramai yang hajinya diterima?”

“Tiada seorang pun yang diterima. Hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq yang tidak dapat berhaji tetapi diterima hajinya. Berkat haji Muwaffaq inilah semua orang yang melakukan haji pada tahun ini telah diterima.”

Sejurus habis perbualan itu , Abdullah terbangun dari tidurnya. Terpinga-pinga dia melihat sekeliling kerana seolah-olah dua malaikat itu benar-benar ada di hadapannya.

“Muwaffaq, siapakah dia?” persoalan itu bermain-main di fikiran Abdullah sehingga dia terus berangkat ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Di Damsyik, dia bertanya kepada orang yang lalu lalang, adakah penghuni yang bernama Muwaffaq.

Memang benar, Muwaffaq itu wujud dan tinggal di kawasan kejiranan berdekatan. Sampai di depan pintu rumah, Abdullah mengetuk sambil memberi salam.

Keluarlah seorang lelaki dan apabila ditanya memperkenalkan dirinya sebagai Muwaffaq.

Abdullah lalu bertanya pernahkah lelaki itu menunaikan haji dan bagaimana dia boleh mencapai darjat seperti yang dikatakan malaikat itu?

“Tidak lama dulu, aku memang berniat untuk menunaikan haji. Apakan daya dengan keadaanku ini, wang perlu dikumpul terlebih dahulu. Kemudiannya, Alhamdulillah aku mendapat rezeki 300 dirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu. Jadi, aku berniat untuk melakukan haji pada tahun ini.

Isteriku ini pula hamil. Satu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan teringin makanan itu. Aku pun pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan hajat isteriku. Jika tidak banyak, cukuplah sedikit makanan yang berbau itu untuk isteriku yang sedang mengidam.

Namun, aku mendapat jawapan yang amat menyedihkan dari jiranku itu. Katanya. ‘Oleh kerana sudah terdesak, aku terpaksa membuka rahsiaku. Sebenarnya anak-anak yatimku ini sudah tiga hari tidak makan. Aku terpaksa keluar mencari makanan untuk mereka. Ditakdirkan aku bertemu dengan bangkai himar di suatu tempat. Lalu aku potong sebahagiannya dan aku bawa pulang untuk dimasak. Maka makanan ini jadi halal untuk kami kerana darurat dan haram untuk makanan kamu.’

Menitis air mataku mendengar semua itu. Lalu aku pulang ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham. Aku serahkan wang itu kepada jiranku. Aku rela dan ikhlas hati wang itu dibelanjakan buat anak-anak yatim di dalam jagaannya itu"

"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku ini sahaja,” cerita Muwaffaq.

Abdullah yang mendengarnya hanya terpegun. Barulah disedari betapa besarnya pahala membantu jiran tetangga dalam kelaparan apatah lagi jika di dalamnya terdapat anak-anak yatim.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...