Showing posts with label Huraian Hadith. Show all posts
Showing posts with label Huraian Hadith. Show all posts

Tuesday, February 22, 2011

Mentaati Kedua-dua Ibu Bapa

Hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim)

Huraian


Pengajaran hadis:

i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menziarahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturrahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredhaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Friday, January 21, 2011

Besar Dan Yang Lebih Besar Ganjarannya

Hadith:

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu” (Muslim)

Huraian

1. Bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah untuk anak-anak akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah S.W.T. Bahkan dikira suatu dosa besar sekiranya seorang suami atau ketua keluarga itu enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu berbuat demikian.

2. Nafkah adalah lebih daripada hanya peruntukan makanan bahkan yang dimaksudkan dengan nafkah adalah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pendidikan dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan seseorang anggota keluarga.

3. Keluarga yang bahagia akan terbentuk sekiranya setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Keberkatan jua akan melimpah sekiranya setiap tanggungjawab itu dilakukan dengan mengambilkira kedudukan halal dan haramnya. Tidak semata-mata ingin mengecap kesenangan dengan jalan yang mudah sehingga akhirnya membawa padah kepada keluarga dan merosakkan rumahtangga.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Thursday, January 13, 2011

Jangan Kamu Marah!

Hadith:

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:” Berwasiatlah kepada ku.” Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:” Jangan kamu marah..” (al-Bukhari)


Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Thursday, December 30, 2010

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Hadith:

Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”. (Riwayat Muslim)

Huraian

1.Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
2.Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
3.Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
4.Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Monday, December 6, 2010

Hijrah Satu Perjuangan

Hadith:

Dari Abdullah bin Mas’ud, katanya: ”Bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiap-tiap Nabi yang diutus sebelum saya mempunyai pengikut-pengikut dan sahabat-sahabat yang terpilih dari umatnya masing-masing; mereka itu berpegang kepada contoh Nabinya dan menuruti perintahnya; kemudian setelah zaman itu berlalu mereka disambung oleh generasi yang hanya pandai berkata, tetapi tidak bekerja,dan bekerja tetapi tidak menuruti pedoman-pedoman Nabinya. Sesiapa menentang kaum itu dengan kekerasan, mu’minlah ia, menentangnya dengan perkataan, mu’min pula, dan menentangnya dengan hatinya mu’min juga; dan telah habislah iman dari orang-orang yang tidak menentang kemungkaran, walaupun dengan hatinya.” (Muslim)

Huraian:

Perjuangan melawan kemungkaran adalah menjadi dasar utama para nabi dan orang-orang yang beriman. Nabi Muhammad saw, seperti halnya nabi-nabi sebelumnya, menghadapi berbagai kesukaran sepanjang hidup baginda. Baginda berkorban meninggalkan harta dan berhijrah ke Madinah demi kelangsungan dakwah Islam. Ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (al-Baqarah: 218). Sebagai balasan atas pengorbanan tersebut, Allah memberikan khabar gembira dengan limpahan kebaikan dan rezeki di dunia. Hal ini disebutkan di dalam al-Quran yang bermaksud: "Sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dimaksudkan), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."(an-Nisaa:100). Sesungguhnya orang yang benar-benar beriman sama sekali tidak merasa takut atau gementar apabila menghadapi musuh. Semuanya adalah kerana keyakinan pada Allah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang benar seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya, 'Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita.' Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (at-Taubah: 40)

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Saturday, December 4, 2010

Jangan Meremehkan Sedekah Orang

Hadith:

Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”Kami diperintah Rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli. Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu. Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata: ”Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. Dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.” Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat : ”(orang-orang munafik iaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan membalas penghinaan mereka itu dengan siksa yang pedih.” (at-Taubah:79)

Huraian:

Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keislaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki. Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keislaman itu diukur pada orang yang paling ikhlas dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Tuesday, November 30, 2010

Memutuskan Silaturrahim, Satu Dosa Besar

Hadith:

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: ”Sesiapa yang ingin diluaskan rezekinya, dipanjangkan umurnya, maka hendaklah ia memanjangkan silaturrahim” Riwayat al-Bukhari

Huraian:

i) Silaturrahim bermaksud menyambungkan tali persaudaraan atau kasih sayang, mengeratkan kembali rasa kecintaan serta menjaga keutuhan persaudaraan yang telah terbina terhadap saudara, kerabat, teman dan sebagainya.

ii) Membina dan mengeratkan silaturrahim adalah merupakan satu tugas dan tuntutan yang wajib di sisi Islam di mana Rasulullah s.a.w amat membenci golongan yang suka memutuskan hubungan persaudaraan sesama manusia sebagaimana sabda baginda yang maksudnya: ”Tidak halal bagi seorang muslim menjauhi (memutuskan) hubungan dengan saudaranya melebihi tiga hari.”

iii) Mewujudkan silaturrahim bukan sekadar membawa maksud menyambung kembali ikatan persaudaraan yang telah retak atau memulihkan semula ketegangan dalam perhubungan malah ia membawa erti yang lebih luas lagi iaitu membina kemesraan dan keakraban dengan sesiapa sahaja menerusi sifat saling membantu, bertolak ansur dan sebagainya.

iv) Biasanya punca permasalahan dan gejala keretakan persaudaraan didahului dengan pertengkaran dan saling menjauhkan diri. Maka adalah menjadi kewajipan bagi seorang muslim yang lain mengajak saudaranya yang bertelagah itu ke jalan perdamaian sama ada dengan cara mendatangi, menyapa atau memberi salam serta diikuti dengan ucapan meminta maaf.

v) Seseorang yang sedang berada dalam suasana tegang (perselisihan faham) hendaklah membanyakkan sabar dan bersikap terbuka serta mengalah untuk meminta maaf atau memaafkan orang lain. Jangan bersikap sombong dan angkuh serta menganggap diri sentiasa benar atau betul kerana inilah punca terjadinya keretakan hubungan yang berterusan. Sesungguhnya dosa sesama insan hanya boleh dimaafkan oleh manusia itu sendiri dan bukanlah boleh diampunkan oleh Allah S.W.T.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...