Wednesday, June 30, 2010

Terus Melangkah

Di depan itu luas
Banyak lagi pilihan
Jalan mana yang kau mahu
Lalui saja
Pintu mana yang kau ingin
Tembusi saja.

Perlu apa kau toleh belakang
Andai ia menyakitkan
Merimaskan...melukakan.

Masa yang berputar
Tak mungkin kan kembali
Apa yang terjadi
Sudah pun terjadi
Tiada apa yang perlu ditangisi
Tiada apa yang perlu dikesali.

Teruskan langkah mu
Mara dan terus mara
Capailah impian mu
Agar kau kecapi bahagia
Bukan lagi duka.

[Azwa Saini, Ampang, 29 Jun 2010]

Thursday, June 3, 2010

Lupakanlah Apa Yang Perlu Dilupakan

“Astaghfirullahalazim, macam mana boleh terlupa ni...?”

“Alamak! Terlupa la……”

“Opss, terlupa lagi…”

Inilah antara ayat-ayat yang bermain di bibir kita tatkala kita tersedar bahawa kita telah ‘terlupa’. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan, lupa adalah sifat semulajadi manusia walau sebijak manapun ia. Walau berhati-hati pun seseorang itu, dia tidak dapat lari dari sifat lupa.

Lupa kadangkala memang cukup merimaskan. Apatah lagi kalau kita terlupa di saat-saat kecemasan. Terlupa isi minyak kereta sampai tersangkut di tengah jalan, terlupa bawa kad pengenalan ketika sesi pendaftaran, terlupa temujanji dengan kawan atau terlupa menyiapkan tugasan? Semua ini pernah berlaku pada kita.

Kalau boleh, kita memang tidak mahu lupa. Kalau boleh kita ingin menjadi seorang yang mengingati segala-galanya. Benarkah? Sedangkan lupa itu sebenarnya cukup penting dalam hidup kita.

Lupa adalah nikmat yang kita tidak sedari kewujudannya. Lupa adalah sebahagian anugerah yang perlu kita syukuri kehadirannya. Melalui pengalaman hidup yang pahit, lupa membuatkan kita boleh meneruskan hidup seperti biasa tidak lama kemudian. Bayangkan, ada yang melalui saat putus tunang dan penceraian, sudah penat naik turun mahkamah dan saling bertikam lidah.

Ada pula pihak ketiga yang memberikan nasihat “Lupakanlah, sudah tak ada jodoh. Terima saja,” Kita disaran agar ‘melupakan’ demi kebaikan. Dan ironinya, setelah masing-masing membawa diri, segala pertelingkahan dapat dilupakan. Malah, ada yang boleh berbaik-baik semula dan saling memaafkan. Semua itu kerana ada perasaan lupa, bukan? Lupa yang membuatkan hati manusia lembut dan dapat dibentuk semula.

Begitu juga dengan musibah lain yang lebih menguji. Kematian insan tersayang seperti suami dan isteri. Lambat laun, kesedihan dan perasaan kehilangan akan luput dengan sendirinya. Sebahagiannya mungkin tinggal sebagai kenangan dan bukan lagi keperitan. Tuhan memberikan anugerah lupa agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.

Lupa juga membuatkan hubungan manusia tidak berantakan. Hari ini orang berbuat salah pada kita, kalau bukan sehari, sebulan dua pasti kita tidak mengingatinya lagi. Begitu juga dengan orang lain. Lupa melupuskan dendam atau sakit hati yang mungkin bersarang di jiwa kalau kita ‘ingat’ sepanjang masa.

Berapa agaknya usia kita sekarang? Tidak kira dalam lingkungan 20-an,30-an, 40-an atau 70-an, banyak memori yang sudah kita simpan. Kalau bukan kerana lupa, rasanya tidak mampu kita menanggung beban ingatan yang keterlaluan. Bersyukurlah kerana kita lupa dan lupakanlah apa yang perlu dilupakan.

(Sumber: www.dunyahalal.com)

Nasihat Untuk Wanita

1. Pertama, urusan yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajibannya atau tidak).

2. Apabila lari wanita dari rumah suaminya tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Nabi s.a.w.: Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yang halal nikah kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli.

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, "Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w. menjawab, "Bukankah kamu dapat melihatnya."

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tidak seizinnya dan tidak boleh memasukkan seseorang lelaki ke rumahnya dengan tidak seizin suaminya.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, samada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat hingga ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. “Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.”

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat kebelakang tengkoknya.

16. "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. " Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian Ya Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup."

17. "Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita. "Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, "Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?" Jawab Nabi s.a.w. "Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya."

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. "Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api." Hazrat Aishah bertanya, "Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?" Jawab Rasulullah s.a.w.:

i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)

iii. Sering mengkufurkan (engkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya: Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apapun.)

iv. Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya: bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

v. Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki, rakan- rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a.: Aku dengar Rasulullah s. a. w. bersabda, "Tiga golongan dari umatku akan mengisi nereka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah :-

a. Orang yang gemuk tapi kurus
* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.

b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.

c. Orang yang alim tapi jahil
* Orang yang alim tapi jahil ialah ulamak yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi. "

21. Asma' binti Kharizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu."

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu:-

a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah s.w.t.
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadapmu.
h. Ingat kepada mati"

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah:-

a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya samada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami samada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain (dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.)
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Bermasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami samada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.

24. Wajib bagi wanita:-

a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...