Monday, February 28, 2011

Aku Tidak Akan Mengeluh

“Satu hari, aku berada di Baitul Haram. Muncul seorang wanita yang bersinar dan berseri-seri wajahnya. Demi Allah! Belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu. Mungkin wanita itu tidak pernah risau dan bersedih hati.”

Desis Abul Hasan, didengari wanita itu.

“Apakah benar yang kau katakan tadi saudaraku? Demi Allah! Aku ini hanya manusia biasa. Tetap terbelenggu oleh rasa sedih, terluka dan kecewa.”

Abul Hasan bertanya “Jika begitu, apakah perkara yang membuatkan engkau pernah bersedih?”

Kepada Abul Hasan, wanita itu menceritakan rentetan kisahnya yang menyayat hati.

Dahulu, aku punya seorang suami yang baik. Hidup kami bahagia dikelilingi tiga orang anak. Dua daripadanya sudah boleh bermain sendiri dan seorang lagi masih bayi. Hari itu, suami menyembelih kambing sebagai korban. Sedang aku memasak di dapur, anak sulungku berkata kepada adiknya.

“Adik, sukakah kamu kalau aku tunjukkan bagaimana caranya ayah menyembelih kambing?”

Adiknya menjawab, “Mahu, bagaimana?”

Lalu dia membaringkan adiknya dan disembelih leher adiknya itu. Setelah melihat darah yang berhamburan, anakku itu ketakutan lalu lari ke kawasan bukit. Suamiku yang bimbang terus pergi mencarinya. Beberapa hari berlalu, mereka masih tidak pulang. Aku terpaksa pula menyusul. Anakku yang masih bayi kutinggalkan di rumah sendirian.

Tiba di kawasan bukit, aku menemui suamiku yang sudah mati kehausan. Tidak lama kemudian aku temui cebisan baju anakku yang sudah dimakan serigala. Mereka telah mati. Aku pulang ke rumah dengan sedih. Sampai di rumah, aku melihat bayiku pula sudah ditimpa periuk berisi air panas. Habis melecur tubuhnya dan dia tidak lagi bernyawa. Sepeninggalanku tadi, bayi itu mungkin telah merangkak ke dapur dan ditimpa periuk itu.

Berita sedih ini kusampaikan kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Kerana terlalu terkejut, dia jatuh pengsan dan akhirnya meninggal dunia. Kematian seorang demi seorang orang yang kusayangi berlaku sekelip mata. Kini tinggal aku sebatang kara.

Abul Hassan yang mendengar kisah itu menyimpan rasa kagum. Dugaan yang diberi kepada wanita itu sangat berat. Kalau tidak kuat dan tabah, mungkin seseorang boleh menjadi gila atau membunuh diri sendiri. Manakan tidak? Kematian ahli keluarga berlaku dalam tempoh yang terlalu singkat dan bersangkut paut antara satu sama lain.

Abul Hassan bertanya, "Alangkah besarnya musibah yang kau terpaksa terima. Bagaimanakah engkau bersabar dengan ujian ini?”

Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemui jalan yang berbeza di antara keduanya. Adapun sabar itu dengan memperbaiki yang lahir, ia adalah hal yang baik dan terpuji. Dan adapun mengeluh, maka kita tidak akan mendapat ganti melainkan sia-sia belaka. Aku tidak akan mengeluh dengan apa yang telah berlaku. Aku redha kehilangan mereka kerana mungkin itulah yang terbaik dari Allah SWT.”

Saturday, February 26, 2011

5 Tabiat Saya

Dah lama tak buat blog tagging...Bila ada tagging, mesti ada hadiahkan..ha3..

Hari ni terfikir satu tajuk pulak - 5 TABIAT SAYA. Tabiat ialah perlakuan yang sudah menjadi kebiasaan dan dah sebati dalam diri kita..Tak kiralah tabiat baik atau buruk. Kadang-kadang kita tak perasan pun tabiat kita sendiri sehinggalah orang lain yang bagitahu kat kita..

Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat, TABIAT bermaksud -
1. budi pekerti, pekerti, perangai, watak.
2. perbuatan yg selalu dilakukan, kelakuan, tingkah laku.

----------------------------------------------------------------------------------------------
Peraturan Tagging '5 TABIAT SAYA'
1. Link kan entry ini ke blog anda
2. Senaraikan TABIAT anda
3. Tag 5 orang untuk senaraikan TABIAT mereka pulak
4. Dah selesai, link kan entry anda tu kat ruangan COMMENT entry ini

Nota
1. Game ini berlangsung sehingga 4 Mac 2011
2. Entry anda akan diundi secara rawak untuk menerima GIFT daripada saya

----------------------------------------------------------------------------------------------
5 TABIAT SAYA

  1. Bila menulis/menaip dan membaca, mulut mesti terkumat-kamit sebab kalau mulut tak bergerak rasa macam tak 'masuk' je apa yang dibaca. Dahtu kalau tak 'masuk' gak, dok ulang-ulang baca ayat yang sama siap dok bayangkan situasi ayat tu...
  2. Bila makan mesti fokus kat makanan. Tak ingat orang sekeliling dah. Memang menghayati betul-betullah makanan tu...Sambil tu fikiran dok melayang fikir macam-macam.
  3. Pasal makanan lagi...makan apa pun mesti berkuah..kalau makan yang goreng-goreng, ambik yang goreng basah..kalau tak berkuah, campur air masak sikit nak bagi dia berkuah jugak...
  4. Tak boleh ada duit lebih sikit dalam tangan. Mesti nak beli itu ini. Kena ada orang tolong ingatkan supaya berjimat...
  5. Suka termenung, berangan, pikir entah apa-apa..fikiran melayang-layang..macam-macamlah...sampai sakit kepala pulak tu..adoilaa haii...

Sekarang saya nak tag TZM, Cikgu Suhana, Nidza, Izawati dan Kak Linda..

Kepada yang first time main game ni, jangan malu-malu tanya ye kalau tak tahu... ;)

Terima kasih dan selamat bertagging!!!

Tuesday, February 22, 2011

Wahai Wanita

Ketahuilah anda adalah tamsilan kepada keindahan, namun begitu anda jua adalah tamsilan kepada kerosakan & kemusnahan.

Tuhan menjadikan wanita untuk menghiasi bumi ini. Tanpa wanita dunia ini terasa sempit & tidak seronok untuk didiami. Kaum lelaki akan berasa rimas sebagaimana Nabi Adam A.S. pernah dilanda gelisah meskipun hidup dipenuhi kenikmatan di syurga. Lalu baginda memohon kepada Tuhan agar dijadikan seorang teman agar boleh dia berbicara, bergurau senda & membina sahsiahnya. Maka terciptalah Siti Hawa dari tulang rusuk kiri Nabi Adam A.S. & segala kenikmatan syurga di sekeliling terasa wujud...

Tanpa Permaisuri siapakah lelaki yang digelar raja,
Tanpa isteri siapalah lelaki yang digelar suami,
Tanpa wanita siapakah lelaki yang mahu digelar pemimpin.
Tanpa perempuan siapakah lelaki yang digelar ayah...

Seorang wanita terutama yang bergelar isteri cukup mudah untuk memasuki syurga tetapi seorang wanita juga amat mudah dilemparkan ke neraka. Segalanya bergantung kepada agamanya…

Lihatlah Peranan Wanita-Wanita Ini…

Tanpa Siti Khadijah, barangkali Rasulullah S.A.W. tidak mendapat 'dorongan' yang amat diperlukan untuk terus bangkit, berpegang teguh kepada keyakinannya & menyebarkan Islam sebagaimana semestinya.

Tanpa Aishah, barangkali banyak hadis Rasulullah S.A.W. tidak sampai kepada umat Islam seluruhnya.

Tanpa Fatimah Az-Zahrah, barangkali Sayidina Ali tidak muncul sebagai menantu Rasulullah S.A.W. yang amat disayangi.

Tanpa Asiah, barangkali Nabi Musa A.S. tidak terbela hingga menjadi penentang kepada suaminya yang amat kufur & mengaku tuhan itu.

Tanpa Masitah, barangkali tidak terbukti betapa wanita boleh berpegang teguh kepada keimanan meskipun maut di depan matanya.

Tanpa wanita, siapalah lelaki kerana setiap lelaki datangnya dari perut wanita...

Lihatlah Pula Peranan Wanita-Wanita Ini..

Seorang wanita yang menjadi isteri kepada Nabi Nuh A.S. telah bertukar menjadi seorang penentang kepada kebenaran,

Seorang wanita di zaman permulaan Islam sanggup melapah dada Sayidina Hamzah & mengunyah hatinya,

Seorang wanita tergamak meletakkan najis unta ke kepala Rasulullah S.A.W.

Serta dalam sejarah manusia sejagat ramai wanita menjadi pendorong kepada kemaksiatan, kekufuran, kehancuran & kemusnahan lelaki.

Mentaati Kedua-dua Ibu Bapa

Hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.” (Riwayat al-Hakim)

Huraian


Pengajaran hadis:

i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.

ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.

iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menziarahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturrahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.

iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.

v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredhaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

[SUMBER: http://www.islam.gov.my/e-hadith]

Friday, February 18, 2011

Awan Putih Itu Melindunginya

Al-Amin…Al-Amin. Namanya menjadi sebutan di kota Makkah. Dia memegang kunci amanah dan jujur sehingga akhirnya diberi kepercayaan mengendalikan kafilah dagang Siti Khadijah. Itulah langkah pertama Nabi Muhammad sebelum dia menerima perintah dan wahyu sebagai seorang Rasul.

Ketika usianya meningkat dewasa, Athikah mencadangkan Nabi Muhammad memohon kerja dengan Siti Khadijah. Siapa yang tidak kenal dengan Muhammad, Al-Amin?

Siti Khadijah menerima tawaran itu dengan hati terbuka. Alangkah bertuahnya dia kalau Muhammad yang membawa barang dagangannya. Dia tidak perlu ragu-ragu atau risau lagi. Bahkan, kali ini dia akan membayar kepada Muhammad sebanyak lima puluh dinar berbanding pekerja biasa yang hanya diberi dua puluh dinar.

Tiba masanya, rombongan perniagaan itu pun bertolak ke negeri Syam. Nabi Muhammad dipakaikan dengan pakaian yang tebal dan diberi unta yang baik sebagai kenderaan.

Kala itu, berlaku sesuatu yang aneh di dalam perjalanan. Segumpal awan putih kelihatan menaungi rombongan kafilah itu di sepanjang jalan. Terik matahari yang panas terlindung dek kemunculan awan itu sehingga padang pasir yang mereka lalui dirasakan redup dan sejuk sahaja.

Tidak lama kemudian, mereka berhenti di sebuah kebun tamar. Kelihatan juga sebuah rumah ibadah yang dihuni seorang Rahib.

Melihat rombongan yang tiba itu, Rahib pun keluar dari rumahnya. Dia dapat mengesan sesuatu. Ya, suasana di situ tiba-tiba bertukar teduh. Didongaknya kepala sehingga ternampak segumpal awan putih. Tertanya-tanya di hati Rahib, siapakah yang bertuah dan mendapat kemuliaan sedemikian.

Rahib menyampaikan pesan kepada salah seorang mereka agar menjemput semua datang ke rumahnya. Mereka pun pergi ke rumah Rahib itu kecuali Nabi Muhammad. Dia ditugaskan menjaga barang-barang dagangan di situ.

Sambil melayan para tetamunya, Rahib itu melihat ke luar. Awan putih itu masih ada di tempatnya tadi.

“Adakah masih ada di kalangan kalian yang tertinggal di tempat meletakkan barang itu?” tanya Rahib.

“Ya, ada. Dia seorang buruh yatim, penjaga barang-barang itu,” jawab mereka.

Rahib itu pun pergi menemui Muhammad dan mengajaknya berjalan agak jauh dari tempat itu. Sangkaannya benar, awan itu bergerak mengikuti langkah mereka. Tidak salah lagi, pemuda inilah orangnya!

“Wahai pemuda, dari negeri manakah engkau datang? Apakah kabilahmu? Dan siapakah namamu?” tanya Rahib.

“Aku datang dari Makkah, dari kabilah Quraisy dan namaku Muhammad,” Nabi menjawab.

Sebaik saja mendengar semua itu, Rahib terus memeluk Nabi Muhammad. Diciumnya dahi antara dua mata Nabi dan mengucapkan kalimah “Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah.”

Nabi Muhammad hanya tercengang-cengang melihat perlakuan Rahib itu.

“Wahai pesuruh ALLAH, tunjukkan tanda kenabian yang ada padamu agar aku benar-benar yakin bahawa engkaulah yang diutuskan sebagai nabi akhir zaman,” pinta Rahib.

Diselaknya baju Nabi di bahagian belakang dan terlihatlah tanda kenabian di antara kedua bahunya. Rahib itu lantas mengucapkan syukur. Rupanya nabi yang dikatakan di dalam kitab Taurat sudah muncul!

Namun peristiwa itu dirahsiakan oleh kedua mereka daripada pengetahuan orang ramai demi keselamatan Nabi sehinggalah akan tiba masa yang sesuai baginda bakal dilantik sebagai Rasul penyampai dakwah buat umatnya.

Ketika Kelahiran Rasulullah SAW

Ketika Rasulullah SAW dilahirkan, syaitan-syaitan dilarang naik ke langit padahal sebelumnya syaitan-syaitan itu dapat naik dan turun ke langit untuk mendengar percakapan dan perbualan para malaikat. Ketika mereka dilarang naik ke langit itu, maka mereka berkumpul dan menemui Iblis lalu berkata, “Dulu kami boleh naik ke langit, tetapi hari ini kami telah dilarang untuk naik.” Iblis menjawab, “Bersabarlah kamu semua di permukaan bumi, dari barat sampai ke timur dan perhatikan dengan baik-baik apa sebenarnya yang telah terjadi.”

Syaitan-syaitan berusaha mencari, akhirnya setelah mengelilingi timur dan barat, sampailah mereka ke kota Mekah. Di sana mereka melihat Nabi Muhammad SAW sedang dikelilingi oleh para Malaikat, dan memancar cahaya dari dirinya hingga naik ke langit, sedangkan malaikat-malaikat itu saling memberi ucapan selamat dan sejahtera antara satu dengan yang lain.

Kemudian pulanglah syaitan-syaitan itu mengadap kepada Iblis sambil menceritakan semua apa yang telah mereka lihat. Maka Iblis pun berkata, “Telah lahir ‘ayatul alam’ dan rahmat bagi Bani Adam, kerana itulah kamu semua telah dicegah untuk naik ke langit, tempat pandangannya dan pandangan umatnya.”

---------------------------------------------------------------

Kabul Akhbar ra. berkata, “Saya telah melihat di dalam Taurat bahawa Allah SWT mengkhabarkan kepada kaum Musa as. tentang saat lahirnya Nabi Muhammad SAW, Ia berkata: “Sesungguhnya bintang keadaannya tetap yang kamu ketahui itu bila ia bergerak dari tempatnya menandakan bahawa Rasulullah telah lahir”.”

Ketika Rasulullah SAW lahir, bintang itu pun bergerak dan pindah dari tempat asalnya. Maka orang-orang Yahudi itu semuanya mengetahui bahawa Rasulullah yang diberitakan Allah itu telah lahir ke dunia namun mereka merahsiakan disebabkan rasa dengki di hati mereka.

Allah juga telah memberitahukan kepada kaum Isa as. di dalam kitab Injil bahawasanya apabila pokok tamar yang kering menjadi subur, berdaun dan berbuah. Melihat peristiwa itu, orang-orang Nasrani pun mengetahui bahawasanya Rasul yang telah dijanjikan Allah SWT dalam kitab Injil itu telah lahir ke dunia. Tetapi peristiwa itu mereka rahsiakan disebabkan oleh kedengkian mereka juga.

Di dalam kitab Zabur pun Allah SWT memberitahukan bahawa apabila mata air yang telah mereka kenal itu mengeluarkan air, maka tandanya Rasul yang dijanjikan kepada mereka muncul di permukaan bumi.

Maka tepat pada masa Rasulullah dilahirkan, maka mata air itupun mengeluarkan air yang berlimpah ruah. Mereka pun mengetahui akan kejadian itu namun kerana kedengkian mereka, berita itupun mereka rahsiakan.

---------------------------------------------------------------

Ketika Rasulullah SAW dilahirkan, terdengarlah suara dari sudut-sudut Ka’abah.

Dari sudut pertama terdengar ucapan, “Telah datang kebenaran Islam, dan kebatilan tidak akan datang lagi.”

Dari sudut kedua terdengar ucapan, “Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu. Sangat menginginkan keimanan dan keselamatan bagimu. Amat belas kasihan dan penyayang terhadap orang-orang mukmin.”

Dari sudut ketiga terdengar ucapan, “Telah datang kepadamu cahaya (Nabi) dari Allah dan kitab (Al-Quran) yang menerangkan.”

Dari sudut yang keempat terdengar ucapan, “Hai Nabi, sesungguhnya kami mengutuskan untuk menjadikan saksi, dan pembawa khabar gembira dan pemberi peringatan, dan untuk menjadi penyeru kepada agama Allah dengan izin-Nya dan untuk menjadi cahaya yang terang.”

Diriwayatkan bahawa Abdul Mutahlib berkata, “Ketika aku sedang berada di ka’abah yang dipenuhi berhala itu, tiba-tiba berhala itu jatuh dari tempat-tempatnya dan sujud kepada Allah. Dan aku dengar suara dari dinding ka’abah mengatakan, “Telah lahirnya Nabi pilihan yang akan membinasakan orang-orang kafir dan akan mensucikan aku dari berhala-berhala ini, dan aku memerintahkan kepada penyembahan Yang Maha Mengetahui.”

Insya Allah (versi Bahasa Melayu)

Andainya kau rasa tak berupaya
Hidup sendirian tiada pembela
Segalanya suram
Bagai malam yang kelam
Tiada bantuan tiada tujuan
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Chorus
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya

Andainya dosamu berulang lagi
Bagai tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Ulang Chorus

Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin padaNya
Panjatkanlah doa
Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar

Ulang Chorus

[Maher Zain]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...