Al-Amin…Al-Amin. Namanya menjadi sebutan di kota Makkah. Dia memegang kunci amanah dan jujur sehingga akhirnya diberi kepercayaan mengendalikan kafilah dagang Siti Khadijah. Itulah langkah pertama Nabi Muhammad sebelum dia menerima perintah dan wahyu sebagai seorang Rasul.
Ketika usianya meningkat dewasa, Athikah mencadangkan Nabi Muhammad memohon kerja dengan Siti Khadijah. Siapa yang tidak kenal dengan Muhammad, Al-Amin?
Siti Khadijah menerima tawaran itu dengan hati terbuka. Alangkah bertuahnya dia kalau Muhammad yang membawa barang dagangannya. Dia tidak perlu ragu-ragu atau risau lagi. Bahkan, kali ini dia akan membayar kepada Muhammad sebanyak lima puluh dinar berbanding pekerja biasa yang hanya diberi dua puluh dinar.
Tiba masanya, rombongan perniagaan itu pun bertolak ke negeri Syam. Nabi Muhammad dipakaikan dengan pakaian yang tebal dan diberi unta yang baik sebagai kenderaan.
Kala itu, berlaku sesuatu yang aneh di dalam perjalanan. Segumpal awan putih kelihatan menaungi rombongan kafilah itu di sepanjang jalan. Terik matahari yang panas terlindung dek kemunculan awan itu sehingga padang pasir yang mereka lalui dirasakan redup dan sejuk sahaja.
Tidak lama kemudian, mereka berhenti di sebuah kebun tamar. Kelihatan juga sebuah rumah ibadah yang dihuni seorang Rahib.
Melihat rombongan yang tiba itu, Rahib pun keluar dari rumahnya. Dia dapat mengesan sesuatu. Ya, suasana di situ tiba-tiba bertukar teduh. Didongaknya kepala sehingga ternampak segumpal awan putih. Tertanya-tanya di hati Rahib, siapakah yang bertuah dan mendapat kemuliaan sedemikian.
Rahib menyampaikan pesan kepada salah seorang mereka agar menjemput semua datang ke rumahnya. Mereka pun pergi ke rumah Rahib itu kecuali Nabi Muhammad. Dia ditugaskan menjaga barang-barang dagangan di situ.
Sambil melayan para tetamunya, Rahib itu melihat ke luar. Awan putih itu masih ada di tempatnya tadi.
“Adakah masih ada di kalangan kalian yang tertinggal di tempat meletakkan barang itu?” tanya Rahib.
“Ya, ada. Dia seorang buruh yatim, penjaga barang-barang itu,” jawab mereka.
Rahib itu pun pergi menemui Muhammad dan mengajaknya berjalan agak jauh dari tempat itu. Sangkaannya benar, awan itu bergerak mengikuti langkah mereka. Tidak salah lagi, pemuda inilah orangnya!
“Wahai pemuda, dari negeri manakah engkau datang? Apakah kabilahmu? Dan siapakah namamu?” tanya Rahib.
“Aku datang dari Makkah, dari kabilah Quraisy dan namaku Muhammad,” Nabi menjawab.
Sebaik saja mendengar semua itu, Rahib terus memeluk Nabi Muhammad. Diciumnya dahi antara dua mata Nabi dan mengucapkan kalimah “Lailahaillallah Muhammadur Rasulullah.”
Nabi Muhammad hanya tercengang-cengang melihat perlakuan Rahib itu.
“Wahai pesuruh ALLAH, tunjukkan tanda kenabian yang ada padamu agar aku benar-benar yakin bahawa engkaulah yang diutuskan sebagai nabi akhir zaman,” pinta Rahib.
Diselaknya baju Nabi di bahagian belakang dan terlihatlah tanda kenabian di antara kedua bahunya. Rahib itu lantas mengucapkan syukur. Rupanya nabi yang dikatakan di dalam kitab Taurat sudah muncul!
Namun peristiwa itu dirahsiakan oleh kedua mereka daripada pengetahuan orang ramai demi keselamatan Nabi sehinggalah akan tiba masa yang sesuai baginda bakal dilantik sebagai Rasul penyampai dakwah buat umatnya.
No comments:
Post a Comment