Saturday, December 21, 2013

Satu Waktu Yang Sibuk

Dalam kesibukan pasti ada lelah
Jenuh mengerah tenaga, memeras otak
Peluh keringat menitis dalam kesejukan pendingin hawa.

Dalam kesibukan pasti ada kekalutan
Yang mana dahulu yang mana kemudian
Datangnya awal pulangnya lewat
Makan minumnya tiada berkesempatan.

Dalam kesibukan timbul kerisauan
Bimbang kerja tiada kesudahan
Tiada kesempurnaan.

Dalam kesibukan pasti ada tekanan
Dalam tekanan pasti ada tangisan
Dalam tangisan ia terlelap
Lantas tidurnya terganggu dengan mimpi-mimpi kesibukan itu....

[Azwa Saini, 6 Februari 2013, Taman Shamelin Perkasa]

Bicara Tanpa Janji

Bicara itu tiada makna
Bicara itu sekadar bicara
Kosong...
Tiada janji
Tiada pasti.

Jadi...
Usah ditagih apa-apa
Usah diharap apa-apa
Usah dinanti apa-apa
Kerana tiada janji terpatri.

[Azwa Saini, Shamelin, 24 Februari 2012]

Kusut

Kusut...serabut...
Sepi....sunyi....
Menangis lagi....

Cuba buat sibuk
Agar duka itu pergi
Namun sekali sekala
Ia datang jua...

Cuba cari kehidupan baru
Belum juga mahu tiba
Sabar dan terus sabar
Hingga tiba masa yang dinanti
Kerna tidak mahu silap hitung lagi
Paksaan hanya mendatangkan amarah
Menambah kusut
Menokok serabut.

Dan benar penantian itu satu penyeksaan.

[Azwa Saini, Ampang, 4 Disember 2011]

Rasa Hati

Sungguh lega sekali ku rasa
Bila telah ku luahkan segala.

Luka yang telah lama kusimpan
Nanah yang telah lama kupendam
Akhirnya telah ku muntahkan
Dengan cara yang paling lembut
Tidak menyakitkan tapi tetap meninggalkan kesan.

Biarlah...biarlah ia bercalar
Biarlah ia berparut
Agar menjadi peringatan buat ku.

[Azwa Saini, Cheras, 21 Jun 2011]

Kerana Dia Seorang Ibu

Walau kau seorang pegawai
Walau kau seorang guru
Walau kau seorang doktor
Hatta walau kau seorang menteri...
Di mata seorang ibu
Kau tetap anak kecilnya
Yang akan dilindungi
Yang akan dimarahi
Yang akan dinasihati.

Seorang ibu akan tetap risau dan susah hati
Akan tetap ambil peduli
Perilaku dan perbuatan mu.

Tika sedang makan dia ingat padamu
Adakah kau kelaparan atau kekenyangan
Tika mahu tidur dia ingat padamu
Adakah engkau lena atau masih bekerja
Di dalam ingatan dan tiap doanya
Engkau tak pernah dilupa.

Siapa pun engkau
Jangan dilupa pada ibu
Kata-katanya satu doa
Satu hikmah, satu nikmat
Kerana dia seorang IBU...

[Azwa Saini, Cheras, 10 Mei 2011]

Doa Tetapkan Iman


Wahai Tuhan kami! 
Janganlah Engkau pesongkan iman kami 
sesudah Engkau kurniakan 
kepada kami petunjuk. 
Anugerahkanlah kepada kami 
rahmat kerana bahawa 
sesungguhnya Engkau Maha Pengurnia.

Airmata Rindu Ku

Di kesunyian ini
Aku terkenangkan dirimu
Walau jasad kita terpisah
Walau kau jauh di mata
Namun hatiku tetap untukmu.

Setiap detik berlalu
Betapa aku kerinduan
Betapa aku kesepian
Hanya airmata menjadi peneman.

Duhai kekasih hati
Pujaan sanubari
Aku kan tetap setia menanti
Kerana aku tahu
Kau juga rindu padaku.

[Azwa Saini, Ampang, 6 Mac 2011]

Perut Oh Perut

Diam perut diam
Usah menyanyi keroncong
Bukankah tengahari tadi kau telah ku isi?
Tunggu nanti malam
Waktu untuk mu kan tiba jua.

Sabar perut sabar
Jangan ikut nafsu
Kasihanlah tuan mu ini
Dia perlukan tubuh yang sihat
Kalau selalu kau minta diisi
Dia akan jatuh sakit.

Perut oh perut
Berlatih lah untuk menyedikitkan makan
Lebih-lebih lagi yang tidak berkhasiat
Terima yang baik-baik sahaja
Agar tuan mu ini bertenaga semula.

[Azwa Saini, Cheras, 3 Mac 2011]

Aku Yang Diam

Diam ku bukan kerana marah
Bukan kerana benci
Bukan kerana rajuk
Bukan kerana meminggir diri.

Diam ku kerana tidak mahu tersalah bicara
Tidak mahu menyakiti hati
Tidak mahu dianggap mengganggu privasi.

Diam ku bukan sekadar sepi
Aku berfikir tentang segalanya
Tentang alam dan suasana
Tentang manusia dan peribadi
Tentang diri sendiri.

[Azwa Saini, Ampang, 29 Januari 2011]

Aku Ketika Ini

Ya Allah...
Aku rasa sangat sunyi
Fikiranku semacam kosong
Seolah sudah jauh dari Mu
Tapi aku tahu kau tetap di situ.

Ya Allah...
Aku sedang buntu saat ini
Hatiku semacam ingin menjerit
Sudah aku menangis dan meratap
Tidak terlepas lagi beban itu
Makin berat pula kurasakan.

Ya Allah...
Aku rasa sedih ketika ini
Kesal atas dosa-dosa silam
Masihkah ada ruang buatku
Menebus kesalahan lalu.

Ya Allah...
Aku ingin sekali bersama Mu
Merintih dan mengadu hanya pada Mu.
Ampunkan aku Ya Allah.

[Azwa Saini, Cheras, 22 Januari 2011]

Kosong...

Kosong...
Buntu...
Celaru...
Bosan!!!

Rasa ingin lari jauh...
Tapi ke mana...
Rasa ingin menjerit...
Tapi aku tidak gila...

Tuhan, tolonglah aku...

Maafkan Aku

Maaf andai kau terluka
Antara kita tak pernah ada apa-apa
Walau kau pernah berharap
Namun tak mampu ku penuhi harapan itu.

Telah ku fikirkan sedalamnya
Dan telah ku putuskan
Aku bukan yang terbaik untukmu
Usah lagi menggantung harapan pada ku
Kerana kita tak mungkin bersatu.

Maafkan aku yang membuat kau kecewa
Bukan niat ku mempermainkan perasaan mu
Aku mahukan yang terbaik antara kita
Dan ini adalah jawabannya.

[Azwa Saini, Cheras, 29 November 2010]

The Winner


You were born to win 
but to be a winner you 
must plan to win, 
prepare to win 
and 
expect to win.


[Zig Ziglar]

Kek Cawan Tanda Ingatan

Sebiji kek cawan yang comel
Berperisa coklat, topping blueberry
Dengan taburan coklat chip
Sebagai tanda ingatan dan terima kasih.

Walaupun kecil, kek cawan yang comel
Dihadiahkan penuh keikhlasan
Berserta dengan sekuntum senyuman
Dan kasih sayang.

Sebiji kek cawan yang comel
Diterima juga dengan senyuman
Bersama ucapan TERIMA KASIH...

[Azwa Saini, 26 Oktober 2010, Cheras]

* Khas untuk Munirah & Syakhilla, pelajar praktikal yang rajin

Kesibukan

Aku sedang sibuk
Maaf, jangan ganggu aku
Nanti-nanti kita bicara.

Tinggalkan saja pesanan
Di peti masuk telefon bimbit ku
Atau di kotak emel ku
Aku akan menghubungi mu semula
Apabila aku kurang sibuk
Apabila urusan ku selesai nanti.

Terima kasih kerana memahami.

[Azwa Saini, Cheras, 22 Oktober 2010]

Kelmarin Yang Berlalu

Kelmarin yang berlalu telah pun berlalu
Tak mungkin menjadi hari ini
Tak mungkin menjadi esok.

Kelmarin yang berlalu
Adalah sejarah dan fakta
Adalah kisah dan berita
Adalah memori dan tragedi.

Tak mungkin berubah
Tak mungkin berulang
Kerana yang telah terjadi
Sudah pun terjadi.

Roda kehidupan berputar ke hadapan
Tidak berundur, tidak berhenti
Walau sesaat
Walau sedetik
Walau seketika.

Kelmarin yang berlalu
Adalah pengalaman
Pengajaran dan iktibar
Untuk kita menjadi yang lebih baik.

Kelmarin yang berlalu
Biarlah terus berlalu
Kerana ia tak mungkin kembali lagi.

[Azwa Saini, Cheras, 16 Oktober 2010]

Kenangan Itu

Lagu itu berkumandang
Membuat ku terkenang waktu dulu
Gembira bersama teman-teman
Lalu ku khabarkan pada mereka
Akan kerinduan yang tercipta.

Namun apalah guna mengimbau
Andai yang pahit lebih terkesan
Sedang insan lain mencipta bahagia
Masih ada hati yang terluka.

Kusangka kecewa dan sengketa lama
Akan hanya tinggal sejarah
Buat pengajaran pada semua
Namun kecewa itu juga yang diungkit.

Lantas ku khabarkan dan kunyatakan
Pandang ke depan bukan lagi ke belakang
Bahagia dan kejayaan telah tercipta
Apa guna lagi mengenang kisah duka.

Ku cuba memahami dan mohon difahami
Ku telah memaafkan dan mohon dimaafkan
Andai sukar juga melakukan
Apalah dayaku lagi...

[Azwa Saini, Ampang, 13 Oktober 2010]

Hitam

Hitam itu indah dan menawan
Hitam itu gaya keunggulan
Hitam itu penuh eksklusif
Hitam itu cantik dan berseri
Hitam punya daya tarikan tersendiri.

Tapi itu hitam pada warna
Hitam kehidupan punya tafsiran berbeza
Ada kelam dan suram
Ada sunyi dan sepi
Ada kejahatan
Ada ketakutan
Ada kerisauan.

Hitam kehidupan memberi pengajaran
Berhati-hati memilih teman
Berjaga-jaga dalam tindakan
Berwaspada dalam tutur kata.

[Azwa Saini, Cheras, 05 Oktober 2010]

Friday, December 13, 2013

Oven Baru

Hooray!! Tercapai juga apa yang dihajati..akhirnya berjaya juga aku memiliki sebuah oven..(alaa oven kecik je pun tapi excited lebih..hehehe)

Oven baru telah pun dirasmikan dengan puding roti kismis...sebelum ni nak buat puding roti dan kek semua pakai kukus je..kena selalu tengok takut air kering...dah ada oven ni senang la sikit sebab ada timer..lepas ni kena rajin la tengok resipi ye...(erk..jangan tengok je, kena buat...)

Thursday, December 5, 2013

Big Family


Diagnosa [FIQ]




Andai ku memiliki sakti menafsir cinta

Lingkar kiasan kata-kata, ku gubah jadi mudah
Mata pena yang biru, tak bisa menukilkan
Maka hati yang rindu, memendam perasaan

Bingkainya retak, kaca berderai 
Namun lukisan wajahmu semakin menawan

Sayang... jika bisa
Kau gambarkan rahsia bening mata
Dari terusan lubuk jiwa

Korus:
Kala engkau jatuh rebah
Tangan ini yang menyambutmu
Bila kau menangis ku turut bersedih
Tanpa kau menyedari
Ingin aku pergi jauh
Tapi hati dirantai kamu
Tidak ku mementingkan diri sendiri
Walau tak diucapi

Jika kau juga memiliki sakti... Engkau kekasih hati

Betapa berat dikau memandang
Seksa lagi bahuku memikul bebanan

Ulang Korus

Kala engkau jatuh rebah
Tangan ini yang menyambutmu
Tidak ku mementingkan diri sendiri
Walau tak diucapi

Jika kau miliki sakti... Engkau kekasih hati

Andai kau memiliki sakti menafsir cinta
Pasti kau mendiagnosa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...