Thursday, June 3, 2010

Lupakanlah Apa Yang Perlu Dilupakan

“Astaghfirullahalazim, macam mana boleh terlupa ni...?”

“Alamak! Terlupa la……”

“Opss, terlupa lagi…”

Inilah antara ayat-ayat yang bermain di bibir kita tatkala kita tersedar bahawa kita telah ‘terlupa’. Sesuatu yang tidak dapat dinafikan, lupa adalah sifat semulajadi manusia walau sebijak manapun ia. Walau berhati-hati pun seseorang itu, dia tidak dapat lari dari sifat lupa.

Lupa kadangkala memang cukup merimaskan. Apatah lagi kalau kita terlupa di saat-saat kecemasan. Terlupa isi minyak kereta sampai tersangkut di tengah jalan, terlupa bawa kad pengenalan ketika sesi pendaftaran, terlupa temujanji dengan kawan atau terlupa menyiapkan tugasan? Semua ini pernah berlaku pada kita.

Kalau boleh, kita memang tidak mahu lupa. Kalau boleh kita ingin menjadi seorang yang mengingati segala-galanya. Benarkah? Sedangkan lupa itu sebenarnya cukup penting dalam hidup kita.

Lupa adalah nikmat yang kita tidak sedari kewujudannya. Lupa adalah sebahagian anugerah yang perlu kita syukuri kehadirannya. Melalui pengalaman hidup yang pahit, lupa membuatkan kita boleh meneruskan hidup seperti biasa tidak lama kemudian. Bayangkan, ada yang melalui saat putus tunang dan penceraian, sudah penat naik turun mahkamah dan saling bertikam lidah.

Ada pula pihak ketiga yang memberikan nasihat “Lupakanlah, sudah tak ada jodoh. Terima saja,” Kita disaran agar ‘melupakan’ demi kebaikan. Dan ironinya, setelah masing-masing membawa diri, segala pertelingkahan dapat dilupakan. Malah, ada yang boleh berbaik-baik semula dan saling memaafkan. Semua itu kerana ada perasaan lupa, bukan? Lupa yang membuatkan hati manusia lembut dan dapat dibentuk semula.

Begitu juga dengan musibah lain yang lebih menguji. Kematian insan tersayang seperti suami dan isteri. Lambat laun, kesedihan dan perasaan kehilangan akan luput dengan sendirinya. Sebahagiannya mungkin tinggal sebagai kenangan dan bukan lagi keperitan. Tuhan memberikan anugerah lupa agar kita dapat meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna.

Lupa juga membuatkan hubungan manusia tidak berantakan. Hari ini orang berbuat salah pada kita, kalau bukan sehari, sebulan dua pasti kita tidak mengingatinya lagi. Begitu juga dengan orang lain. Lupa melupuskan dendam atau sakit hati yang mungkin bersarang di jiwa kalau kita ‘ingat’ sepanjang masa.

Berapa agaknya usia kita sekarang? Tidak kira dalam lingkungan 20-an,30-an, 40-an atau 70-an, banyak memori yang sudah kita simpan. Kalau bukan kerana lupa, rasanya tidak mampu kita menanggung beban ingatan yang keterlaluan. Bersyukurlah kerana kita lupa dan lupakanlah apa yang perlu dilupakan.

(Sumber: www.dunyahalal.com)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...