Setelah menunaikan ibadat haji, Abdullah bin Mubarak tertidur di Masjidil Haram. Dalam mimpinya, dia melihat dua orang malaikat turun daripada langit dan berlaku perbualan antara keduanya.
“Berapa ramai orang yang melakukan haji pada tahun ini?”
“Enam ratus ribu.”
“Berapa ramai yang hajinya diterima?”
“Tiada seorang pun yang diterima. Hanya ada seorang tukang sepatu dari Damsyik bernama Muwaffaq yang tidak dapat berhaji tetapi diterima hajinya. Berkat haji Muwaffaq inilah semua orang yang melakukan haji pada tahun ini telah diterima.”
Sejurus habis perbualan itu , Abdullah terbangun dari tidurnya. Terpinga-pinga dia melihat sekeliling kerana seolah-olah dua malaikat itu benar-benar ada di hadapannya.
“Muwaffaq, siapakah dia?” persoalan itu bermain-main di fikiran Abdullah sehingga dia terus berangkat ke Damsyik untuk mencari lelaki itu. Di Damsyik, dia bertanya kepada orang yang lalu lalang, adakah penghuni yang bernama Muwaffaq.
Memang benar, Muwaffaq itu wujud dan tinggal di kawasan kejiranan berdekatan. Sampai di depan pintu rumah, Abdullah mengetuk sambil memberi salam.
Keluarlah seorang lelaki dan apabila ditanya memperkenalkan dirinya sebagai Muwaffaq.
Abdullah lalu bertanya pernahkah lelaki itu menunaikan haji dan bagaimana dia boleh mencapai darjat seperti yang dikatakan malaikat itu?
“Tidak lama dulu, aku memang berniat untuk menunaikan haji. Apakan daya dengan keadaanku ini, wang perlu dikumpul terlebih dahulu. Kemudiannya, Alhamdulillah aku mendapat rezeki 300 dirham dari pekerjaanku membuat dan menampal sepatu. Jadi, aku berniat untuk melakukan haji pada tahun ini.
Isteriku ini pula hamil. Satu hari dia tercium bau makanan dari rumah jiranku dan teringin makanan itu. Aku pun pergi ke rumah jiranku dan menyampaikan hajat isteriku. Jika tidak banyak, cukuplah sedikit makanan yang berbau itu untuk isteriku yang sedang mengidam.
Namun, aku mendapat jawapan yang amat menyedihkan dari jiranku itu. Katanya. ‘Oleh kerana sudah terdesak, aku terpaksa membuka rahsiaku. Sebenarnya anak-anak yatimku ini sudah tiga hari tidak makan. Aku terpaksa keluar mencari makanan untuk mereka. Ditakdirkan aku bertemu dengan bangkai himar di suatu tempat. Lalu aku potong sebahagiannya dan aku bawa pulang untuk dimasak. Maka makanan ini jadi halal untuk kami kerana darurat dan haram untuk makanan kamu.’
Menitis air mataku mendengar semua itu. Lalu aku pulang ke rumah dan mengambil wang tiga ratus dirham. Aku serahkan wang itu kepada jiranku. Aku rela dan ikhlas hati wang itu dibelanjakan buat anak-anak yatim di dalam jagaannya itu"
"Sebenarnya hajiku adalah di depan pintu rumahku ini sahaja,” cerita Muwaffaq.
Abdullah yang mendengarnya hanya terpegun. Barulah disedari betapa besarnya pahala membantu jiran tetangga dalam kelaparan apatah lagi jika di dalamnya terdapat anak-anak yatim.
No comments:
Post a Comment