Monday, January 3, 2011

Latihan Praktikal

Sesetengah kursus yang ditawarkan di kolej/universiti mewajibkan pelajarnya mengikuti latihan praktikal sebagai syarat melengkapkan kursus yang diambil. Latihan ini bukan sekadar tempat untuk pelajar mempraktikkan teori yang dipelajari di kolej/universiti tetapi turut mengajar pelajar perkara-perkara lain yang lebih berharga, antaranya ialah:

  • Menguji kemampuan dan kesanggupan pelajar menerima arahan dan tugasan yang diberikan penyelia/majikan. Ini adalah sebagai persediaan apabila melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar. Majikan berbesar hati sekiranya kita mampu membuat kerja.
  • Menguji kebolehan komunikasi pelajar dengan pekerja lain/penyelia/majikan. Sebagai pelajar, mereka perlu rajin bertanya sekiranya ada perkara yang tidak pasti.
  • Mengajar pelajar untuk menghormati pekerja lain/penyelia/majikan dari segi perbuatan mahupun pertuturan. Contohnya jika kita nampak pekerja lain sedang sibuk dan kita tidak sibuk waktu itu, tawarkan diri untuk membantu.
  • Mengajar pelajar menghormati masa, mengikut jadual yang ditetapkan tidak kira kedatangan ataupun tarikh menghantar tugasan dan sebagainya.
  • Mengajar pelajar untuk jujur pada diri sendiri dan majikan dari segi tugasan yang diberikan, peraturan syarikat mahupun perkara-perkara lain berkaitan syarikat.

Secara keseluruhannya, latihan praktikal merupakan persediaan awal untuk para pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan. Ada majikan yang akan mengambil terus pelajar untuk bekerja dengan mereka setelah tamat latihan. Ada juga majikan yang tidak kisah dengan pelajar kerana mereka tidak memenuhi kehendak majikan.

Oleh itu, kepada adik-adik yang akan/sedang menjalani latihan praktikal, tunjukkan kesanggupan dan kebolehan kamu, keramahan dan rasa hormat kamu serta perkara-perkara positif yang ada pada diri kamu supaya para majikan akan kagum dan suka bekerja dengan kamu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...