Thursday, April 19, 2012

Ramalanmu Benar Belaka

Walaupun tidak bersalah, Nabi Yusuf tetap dipenjarakan. Berkemungkinan ia dibuat sebagai menutup kesalahan yang telah dilakukan oleh isteri kepada Al-Aziz itu. Nabi Yusuf tetap redha. Baginya, itulah satu-satunya cara terbaik untuk keluar dari kemelut fitnah yang melanda dirinya.

Secara kebetulan, Nabi Yusuf ditempatkan di dalam bilik penjara bersama dua orang pemuda yang baru saja menjalani hukuman. Mereka adalah seorang tukang masak dan seorang penghidang minuman diraja. Atas kesalahan apa mereka dipenjarakan?

Ya, mereka disyaki menerima rasuah daripada Raja Rom untuk meletakkan racun di dalam minuman dan makanan Raja Mesir ketika itu. Hanya tukang masak yang bersetuju mengkhianati Raja Mesir sebaliknya tukang penghidang minuman tidak sanggup.

Meskipun penghidang minuman itu menolak rasuah dan melaporkan perkara yang benar kepada raja, dia tetap dipenjarakan bersama tukang masak itu. Walaupun terasa seperti tidak adil, dia terpaksa akur. 

Menjalani kehidupan seharian di penjara, kedua-dua pemuda ini mendapat tahu Nabi Yusuf pandai mentafsir mimpi. Maka mereka sengaja ingin menduga kebolehan Nabi Yusuf.

Tukang memberi minum itu berkata, “Aku bermimpi melihat tiga buah bejana dan mangkuk dari emas. Aku memerah anggur dan memasukkannya ke dalam bekas itu. Lalu aku membuat minuman khamar dan berikan kepada raja. Apakah maksud mimpiku itu wahai Yusuf?”

Belum sempat Nabi Yusuf menjawab, tukang masak diraja pula bertanya, “Wahai Yusuf, aku pula bermimpi diriku sedang memikul bakul roti di atas kepalaku. Tidak lama kemudian, datanglah burung-burung lalu memakan roti di atas junjunganku. Apakah maknanya jika kau memang benar pentafsir mimpi?”

Nabi Yusuf terdiam seketika. Kemudian dia menjawab dengan tenang, “Jika kutafsirkan, kalian mesti menerima kenyataan ini dengan hati terbuka. Salah seorang daripada kalian akan memberikan minuman untuk tuannya dan seorang lagi akan disalib.” Kedua mereka merasa terkejut. Siapakah yang akan hidup dan siapa pula yang akan mati?

Kerana ketakutan, salah seorang dari mereka mengaku berbohong dan jika begitu, ramalan Nabi Yusuf sudah pasti tersasar. “Tidak, telahku ramal mimpimu dan itulah yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT,” tegas Nabi Yusuf lagi.

Seperti yang dijangka, tidak lama kemudian, pegawai penjara datang dan membawa tukang masak diraja pergi. Amat malang sekali, tukang masak diraja itu dijatuhkan hukuman dan disalib sehingga mati. Tukang penghidang minuman pula hanya dibiarkan berada di dalam penjara bersama Nabi Yusuf selama tiga hari.

Kemudian, lelaki itu dibawa keluar dan diberi pengampunan. Lebih dari itu, dia diberikan pakaian yang cantik dan dianugerahkan semula jawatannya sebagai menghargai kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi kepada Raja Mesir. Maka, memang benarlah ramalan yang dibuat oleh Nabi Yusuf dan sesungguhnya dia Nabi yang diberi keistimewaan mentafsir mimpi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...