Monday, April 23, 2012

Pakaian Dalam Islam


Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan pakaian tertentu tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak seperti berikut:

i.      Pakaian itu hendaklah menutup aurat

ii.     Pakaian itu hendaklah longgar, tidak sempit atau ketat hingga menampakkan susuk tubuh badan

Usamah bin Zaid pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang kurang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Albi dan Rasulullah SAW pula menghadiahkan kain tersebut kepada beliau (Usamah bin Zaid), untuk dibuat pakaian tetapi Usamah memberikan kepada isterinya.

Suatu hari Rasulullah SAW bertanyakan Usamah: “kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?”.  Usamah menjawab: “saya telah berikan kepada isteri saya”.  “suruhlah isterimu mengalaskan kain tersebut dengan kain yang lain di bawahnya, kerana aku bimbang jika kain Qibtiah itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang-tulang badan isterimu (bentuk tubuh isterimu)”.

iii.    Pakaian itu diperbuat daripada kain yang agak tebal, tidak nipis atau jarang yang boleh menampakkan bayangan tubuh badan

iv.    Selain dari itu, pakaian wanita hendaklah dibuat daripada kain yang tidak terlalu licin dan lembut hingga melekat di tubuh hingga membayang kulit pemakainya.  Pakaian yang dibuat daripada kain-kain tersebut boleh mengghairahkan lelaki yang memandangnya

v.     Pakaian itu tidak berbentuk hiasan yang boleh menarik perhatian orang melihatnya

vi.    Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki

Abu Hurairah RA telah meriwayatkan; maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat orang-orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang-orang perempuan berpakaian lelaki.

vii.   Pakaian itu bukan melambangkan kemegahan dan bukan untuk berhias-hias atau ditambah dengan haruman semerbak

Abu Hurairah RA telah meriwayatkan; maksudnya: Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina”.

viii.  Pakaian itu tidak menyerupai pakaian orang-orang kafir atau musyrik

Dengan memakai pakaian yang menutup aurat, seseorang wanita telah menunjukkan harga diri sebenar seorang wanita dan sekaligus menghindari perbuatan tidak senonoh di kalangan para lelaki terhadap wanita.

Wanita yang menutup aurat dan berpegang teguh dengan ajara Islam akan mendapat keredhaan ALLAH SWT dan lelaki akan memandang mereka dengan penuh rasa hormat dan memberi penghormatan yang tinggi bersesuaian dengan sifat mereka yang pemalu dan bersopan santun.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...