PERCERAIAN bukan perkara baru. Cuma yang ingin dibangkitkan ialah jumlah kesnya yang begitu membimbangkan, malah kadangkala pada satu masa kesnya tidak terkawal, seolah-olah wabak yang kian merebak. Statistik terbaru Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyatakan perceraian masyarakat Islam sebanyak 20,529 kes pada 2007, manakala kes rujuk (berkahwin semula dengan pasangan) hanya 2,511. Perceraian pada dasarnya halal, tetapi ia adalah perkara halal yang paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah s.a.w, bermaksud: "Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak." (Riwayat Abu Daud, al-Hakim, as-Suyuti dan Ibn 'Adiyy). Bagi lelaki mudah untuk melafazkan cerai dan begitu juga wanita pantas meminta cerai apabila tidak sehaluan, tetapi suka atau tidak ia memberikan banyak kesan negatif.
Kebajikan anak mungkin terabai, malah perkembangan emosi mereka juga terbantut, membuatkan mereka hidup dalam tekanan dan kerana itu kadangkala mereka mencipta masalah sama ada di rumah atau sekolah. Wajah gembira mereka tidak mustahil semakin pudar, kerana kurangnya kasih sayang ibu bapa, sehingga selalu muram, tidak ceria dan kurang keyakinan untuk bergaul bersama rakan sebaya.
Justeru itu, pembentukan keluarga yang aman damai dan ideal harus menjadi idaman setiap pasangan. Dasar keimanan dan ketakwaan seharusnya digenggam setiap pasangan dalam mengharungi pancaroba kehidupan. Ini kerana iman dan takwa akan menerbitkan kesabaran yang tinggi terutama dalam menghadapi konflik rumah tangga dan tahap kesabaran juga secara langsung akan mempengaruhi emosi seseorang dalam membuat sesuatu keputusan pada saat kritikal.
Sabar boleh diertikan sebagai tabah menghadapi sesuatu keadaan yang amat tidak disenangi dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah serta tidak berputus asa dalam menghadapi ujian kehidupan. Daripada persepsi lain, sabar ialah kesediaan untuk menerima, kemampuan dalam menghadapi masalah dan daya ketahanan diri serta fikiran dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Asas kepada kesabaran ialah emosi yang tenang dalam menghadapi segala macam konflik dalam diri, biasanya disebabkan hati. Selagi hati dan fikiran bersih, cetusan yang lahir juga menjurus kepada keadaan positif.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Ketahuilah dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim).Ketenangan emosi dan diri hanya boleh diperoleh jika mempunyai hubungan yang baik dengan Allah. Caranya ialah melalui amalan ibadat wajib dan sunat, manakala secara khususnya pula melalui zikir serta fikir. Zikir adalah ingat, iaitu melepaskan diri daripada lalai dan lupa dengan cara menghadirkan hati serta ingatan yang berterusan. Ingatan yang terbaik adalah ingatan kepada Allah.
"Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku)." (al-Baqarah:152). Faedah berzikir begitu banyak, antaranya ialah ia akan membuatkan kerisauan hilang dari hati, dapat membersihkan hati yang kotor, malah membuatkan hati bertambah tenang. Dengan cara inilah tercetusnya emosi yang tenang dan dengan emosi yang tenang seseorang itu akan dapat mengawal kemarahannya. Secara tidak langsung, ia juga dapat mengawal emosinya dalam menghadapi konflik perhubungan dan pastinya dengan emosi yang stabil akan membuahkan hasil pemikiran yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.
Fikir pula adalah tafakur, iaitu antara nilai ibadat paling tinggi. Berfikir bukanlah semata-mata hanya kepada keadaan dilalui setiap hari, malah merangkumi segala perkara, membabitkan urusan dunia dan akhirat. "Dan pada bumi ada tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang yang yakin dan juga kepada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil dan bukti itu)?" (adz-Dzariyaat:20-21)
Menurut ahli sufi, tafakur adalah pelita hati dan jika tafakur itu hilang, tidak akan ada lagi pancaran dari hatinya. Selalu berfikir membuatkan hati seseorang itu bersih dan hati yang bersih dengan mudah dapat memutuskan sesuatu perkara walaupun berada dalam keadaan yang begitu mendesak.
Bibit perceraian akan timbul apabila pasangan berasakan tekanan atas perkongsian hidup terutama ketika terperangkap dalam konflik pendapat, walaupun pada permulaannya ia hanyalah bersifat tekanan perkongsian hidup yang normal. Bagaimanapun, kerana kurang peka terhadap masalah dan cara penyelesaiannya, ia akan menjadi lebih rumit serta konflik ini akan menjadi lebih berat sehingga mengakibatkan implikasi negatif dalam hubungan.
Justeru, penawar paling mujarab berdepan konflik ini tentunya zikir, fikir dan kesabaran, yang membentuk individu berfikiran matang, bertakwa dan beramal soleh, malah mendorong diri untuk mentauhidkan Allah dalam setiap sudut hidupnya.
Penulis ialah pensyarah UiTM Terengganu. |
No comments:
Post a Comment