Sunday, March 28, 2010

Berakhir Sebuah Derita

1)
Dia ingin dimanja,
Ingin dibelai dan disayangi...
Di balik tirai kamar, dia merenung ke luar,
Cemburu dirinya melihat kanak-kanak lain,
Riang bermain di taman permainan,
Ditemani adik beradik dan kawan-kawan,
Ada juga yang berjalan-jalan dengan ibu dan ayah...
'Bahagianya mereka semua...tapi aku...'

Hatinya seringkali meronta,
Ingin turut serta bermain di sana,
Berkejar-kejaran, melompat dan berlari,
Riang sekali.

Tapi dia tak mampu, dia terkurung di sini,
Tiada siapa yang menemani,
Kaki dan tangannya lemah tak berdaya,
Luka dan lebam penuh di badan,
Kepalanya masih berat kesan hantukan
di dinding semalam,
Perutnya berkeroncong minta diisi...

'Mak, Abah..adik sayang Mak dan Abah...
Maafkan adik kalau adik nakal..
Adik janji tak akan buat lagi...
Adik tak akan buat Mak dan Abah marah...'

Dia berbaring di tilam nipis itu,
Menangis dan terus menangis
hingga terlena dibuai kesedihan.

2)
Wajahnya pucat namun tetap ayu,
Tubuh kecil itu sejuk,
Tak bergerak, tak berganjak,
Dia kaku di situ...layu...
Tiada lagi degupan, nadinya terhenti.

Tiada lagi tangisan dan raungan,
Tiada lagi impian dan angan-angan,
Pergilah...
Berbahagialah engkau di sana,
Semoga engkau disayangi dan dimanja
bidadari syurga.

[Azwa Saini, Ampang, 26 Mac 2010]

Friday, March 5, 2010

Dosa Gugur Apabila Suami Isteri Bersalam

RASULULLAH saw bersabda, yang bermaksud: "Seorang isteri yang bermuka muram di hadapan suaminya, maka ia dalam kemurkaan Allah hingga ia dapat membuat suasana yang riang gembira kepada suaminya dan memohon kerelaannya. "

Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan. Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.

Sesungguhnya keredhaan Allah terletak pada keredhaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.

Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua. Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.

Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.

Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami. Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."

Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.

Mencari Kebahagiaan Hati

" Ketenangan dan kebahagiaan itu adalah hembusan dari langit, diturunkan ke dalam lubuk hati orang yang beriman; mereka akan tetap berhati teguh dikala orang mengalami kegoncangan; mereka tetap yakin dikala orang penuh keraguan; mereka tetap sabar ketika orang berkeluh kesah; dan mereka tetap berlapang dada dikala orang telah runsing "

Ulama telah mengatakan untuk mendapat hati yang baik seseorang itu mestilah:

1. SENTIASA MERASAKAN DIRINYA BERTUHAN.
Apabila disebut Allah timbul rasa gerun. Hati dapat merasakan Allah melihat semua perilakunya. Terasa betapa lemah dan kecilnya diri berbanding ciptaan-ciptaan Allah.

2. SENTIASA BERASA BERSYUKUR.
Rasa bersyukur tidak setakat sewaktu menerima nikmat bahkan tatkala menerima ujian yang mendatang bererti perhatian Allah, menambah pahala sabar dan menghilangkan dosa.

" Jika kamu bersyukur atas nikmatKU, akan KU tambah nikmat itu " (Ibrahim -7 )

3. RASA UNTUK IKHLAS.
Keikhlasan mencetuskan kejujuran, kasih sayang, harmoni serta membuahkan keamanan dan kedamaian.

- SEMUA INI MENGARAH KEPADA KEBAHAGIAAN, APA ERTI HIDUP TANPA BAHAGIA -
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...