Seseorang bisa menjadi ilham untuk kita berbicara. Sesuatu bisa menjadi ilham untuk kita berkata-kata. Dan ia mampu menjadi penyuntik semangat untuk kita meneruskan kehidupan.
Friday, April 9, 2010
Allah Akan Menggantikan Dengan Yang Lebih Baik
“Barangsiapa yang Aku butakan kedua matanya, lalu ia bersabar, nescaya akan Aku ganti dengan syurga.” (Al-Hadith)
“Siapa saja orang di dunia ini yang kekasihnya Aku cabut nyawanya, kemudian dengan cubaan yang Aku timpakan ini dia (bersabar dan) mengharap pahalaKu, nescaya akan Aku ganti dengan syurga.” ( Al-Hadith)
Yakni barangsiapa kehilangan anaknya tetap berusaha untuk bersabar, maka di alam keabadian kelak akan dibangunkan untuknya sebuah Baitul-Hamd (Istana Pujaan). Silakan anda qiaskan kejadian-kejadian tersebut dengan kehidupan anda, kerana yang dipaparkan di sini sekadar contoh.
Maka anda tidak usah terlalu bersedih dengan musibah yang menimpa anda, sebab yang menentukan semua itu memiliki syurga, balasan, pengganti dan ganjaran yang besar.
Para waliyullah yang pernah ditimpa musibah, ujian dan cubaan akan mendapatkan penghormatan yang agung di syurga Firdaus. Itu tersirat dalam firmanNya:
“Kesejahteraan dan kebahagian bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati Allah dan menerima cubaanNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahan. (Ar- Ra’d:24)
Betapa pun, kita harus selalu melihat dan yakin bahawa di sebalik musibah terdapat ganti dan balasan dari Allah yang akan selalu berakhir pada kebaikan kita. Dengan itu, kita akan termasuk:
“ Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Rabb mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” ( Al-Baqarah: 157)
Ini merupakan ucapan selamat bagi orang-orang yang mendapat musibah dan khabar gembira bagi orang-orang yang mendapat bencana.
Umur dunia ini sangat pendek dan gudang kenikmatannya pun sangat miskin. Adapun akhirat lebih baik dan kekal. Sehingga, barangsiapa di dunia mendapat musibah, ia akan mendapat kesenangan di akhirat kelak, dan barangsiapa hidup sengsara di dunia, ia kan hidup bahagia di akhirat. Lain halnya dengan mereka yang memang lebih mencintai dunia, hanya menginginkan kenikmatan dunia saja dan lebih senang pada keindahan dunia. Hati mereka akan selalu gundah gulana, cemas tidak mendapatkan kenikmatan dunia dan takut tidak nyaman hidupnya di dunia. Mereka ini hanya menginginkan kenikmatan dunia saja, sehingga mereka selalu memandang musibah sebagaipetaka besar yang mematikan. Mereka juga akan memandang setiap cubaan sebagai suatu yang gelap gelita selamanya. Ini adalah kerana mereka selalu memandang ke arah bawah telapak kakinya dan hanya mengagungkan dunia yang sangat fana dan tidak berharga ini.
Wahai orang yang tertimpa musibah, sesungguhnya tidak ada sesuatu pun yang hilang dari kalian. Kalian justeru beruntung kerana Allah selalu menurunkan sesuatu kepada para hambaNya dengan ‘surat ketetapan’ yang di sela-sela huruf kalimahNya terdapat suatu kelembutan, kasih sayang, pahala, ada balasan dan juga pilihan. Maka dari itu, siapa saja yang tertimpa musibah yang hebat, ia harus menghadapinya dengan sabar, mata yang jernih dan pola fikir yang panjang. Dengan begitu, ia akan menyaksikan bahawa buah manis dari musibah itu adalah:
“ ..lalu dirikanlah di antara mereka (orang-orang mukmin dan orang-orang munafik) dinding yang mempunyai pintu, yang di sebelah dalamnya ada rahmat (syurga) dan di sebelah luarnya ada seksa (neraka). (Alhadid: 13)
Dan sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik, lebih abadi, lebih utama, dan lebih mulia.
Wednesday, April 7, 2010
Dalam Rahmat Mu
Aku berasa jauh dari rahmat dan kasih sayang Mu.
Setiap pekerjaanku ada kekurangan
Setiap perjalananku penuh kepayahan
Setiap bicaraku dibalasi salah sangka.
Aku asyik berfikir mengapa semua ini terjadi
Ketenangan dan kedamaian semakin menjauh
Hatiku dilanda resah gelisah sepanjang masa.
Ku renung langit yang tak berbintang
Ku lihat padang yang tak berpohon
Kosong tiada seri.
Oh, begitu rupanya hatiku...kosong!
Aku lupa pada Tuhan Maha Pencipta
Ku kejar kasih manusia sedangkan Dia Maha Pengasih
dan Maha Penyayang lebih dari segalanya.
Ya Tuhan
Ku basahkan lidah dengan menyebut nama Mu
Ku perdengarkan azan sebagai halwa telinga
Ku limpahkan air mata menangisi kekhilafan
Ku dendangkan ayat Al-Quran pengubat jiwa.
Oh Tuhan
Ku pohon rahmat Mu yang luas
dan kasih sayang Mu yang tak terbatas
Ku ingin sentiasa berada dalam rahmat Mu
dan dalam naungan kasih sayang Mu.
Ampunilah diriku yang hina ini
Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun.
[Azwa Saini, Ampang, 7 April 2010/22 Rabiul Akhir 1431H]
Friday, April 2, 2010
Tahajjud Cinta
Dan bintang bercahya
Tunjukku ke jalan syurga
Ku haus di tengah laut
Lemas mencari tempat berpaut
Kirimkan aku kekuatan
Serta pedoman di kesesatan
Ku sunyi dalam gembira
Perih pedih tanggung derita
Sungguh aku bukan wali
Yang suci dari hina dan benci
Kau datang ketika duka
Dan bintang bercahya
Tunjukku ke jalan syurga..
Terlalu lama aku mencuba
Terlalu banyak cinta yang ku damba
Tiada yang sempurna hanyalah fana
Tuhan.. ampuni hambaMu
Kau datang ketika duka
Dan bintang bercahya
Tunjukku ke jalan syurga..
Ku rebah di dada malam
Memecah dendam yang lama diam
Ku tanggalkan baju dunia
Dakapku dengan selimut syurga
Ya Tuhanku hanya padaMu
Tempat mengadu segala rindu
Limpahiku rahmat kasihmu
Dalam Tahajjud Cinta bersujud
Pesta Buku Antarabangsa 2010
Aku juga tak terkecuali menyertai orang ramai ke acara tahunan yang dinanti-nantikan ini. Pada masa inilah kita dapat berjumpa penulis dan pengarang buku, membeli bahan bacaan edisi lama dan terbaru pada harga diskaun.
Hari kedua iaitu hari Sabtu aku pergi, orang tak berapa ramai lagi. Sabtu hari kedua terakhir aku pergi lagi. Masa ni memang ramai orang sampai aku tak nampak adik aku dah. Hilang di tengah lautan manusia. Aku pergi gerai Karangkraf dan Galeri Ilmu je. Tak laratlah nak pusing semua gerai.
Aku meminati penulisan Dr HM Tuah dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @ Saiful Islam. Rambang mata aku tengok buku-buku diaorang. Aku borong enam buah buku Dr HM Tuah dari siri 'Membina' dan empat buah buku Saiful Islam termasuk tiga buah buku dari siri 'Aku Terima Nikahnya'. Fuhh..dahsyat..dahsyat...
Takpelah..aku rela berhabis demi ilmu..tulisan mereka memang tak menjemukan..memang memotivasikan aku. Gaya santai dan bersahaja..berdasarkan pengalaman sendiri dan orang sekeliling. Mereka ada aura tersendiri. Syabas!!!
Semoga mereka mempunyai kekuatan untuk menulis lagi. Berkongsi ilmu dengan orang macam aku yang dahagakan ilmu dan motivasi diri.
Sunday, March 28, 2010
Berakhir Sebuah Derita
Dia ingin dimanja,
Ingin dibelai dan disayangi...
Di balik tirai kamar, dia merenung ke luar,
Cemburu dirinya melihat kanak-kanak lain,
Riang bermain di taman permainan,
Ditemani adik beradik dan kawan-kawan,
Ada juga yang berjalan-jalan dengan ibu dan ayah...
'Bahagianya mereka semua...tapi aku...'
Hatinya seringkali meronta,
Ingin turut serta bermain di sana,
Berkejar-kejaran, melompat dan berlari,
Riang sekali.
Tapi dia tak mampu, dia terkurung di sini,
Tiada siapa yang menemani,
Kaki dan tangannya lemah tak berdaya,
Luka dan lebam penuh di badan,
Kepalanya masih berat kesan hantukan
di dinding semalam,
Perutnya berkeroncong minta diisi...
'Mak, Abah..adik sayang Mak dan Abah...
Maafkan adik kalau adik nakal..
Adik janji tak akan buat lagi...
Adik tak akan buat Mak dan Abah marah...'
Dia berbaring di tilam nipis itu,
Menangis dan terus menangis
hingga terlena dibuai kesedihan.
2)
Wajahnya pucat namun tetap ayu,
Tubuh kecil itu sejuk,
Tak bergerak, tak berganjak,
Dia kaku di situ...layu...
Tiada lagi degupan, nadinya terhenti.
Tiada lagi tangisan dan raungan,
Tiada lagi impian dan angan-angan,
Pergilah...
Berbahagialah engkau di sana,
Semoga engkau disayangi dan dimanja
bidadari syurga.
[Azwa Saini, Ampang, 26 Mac 2010]
Friday, March 5, 2010
Dosa Gugur Apabila Suami Isteri Bersalam
Begitulah besarnya harga senyuman seorang isteri kepada suaminya kerana senyuman akan mencetuskan suasana kegembiraan yang sebenarnya dikehendaki suami ketika pulang dalam keletihan. Muka yang masam bukan saja akan menimbulkan kemarahan suami, malahan menyebabkan Allah turut murka dan kemurkaan Allah itu berkekalan hingga isteri berjaya mengembalikan suasana gembira serta memohon keampunan daripada suami.
Sesungguhnya keredhaan Allah terletak pada keredhaan suami. Justeru, apabila suami pulang segeralah bukakan pintu, persilakan masuk dengan penuh hormat dan ciumlah tangan suami sebagai tanda hormat serta meminta maaf, walaupun isteri merasakan tidak berbuat sebarang kesalahan pada hari itu.
Sebuah hadis ada menyebut bahawa apabila seorang suami bersalaman dengan isterinya, maka gugurlah segala dosa dari celah-celah jari mereka berdua. Andai mempunyai anak-anak, ajarlah mereka itu untuk selalu bersalaman dengan ayahnya kerana kelaziman akan memupuk rasa kasih dan hormat anak-anak kepada orang tua.
Kebahagiaan rumahtangga terletak pada akhlak dan budi pekerti isteri. Biarpun seorang isteri itu tidak cantik tapi jika cukup sempurna layanannya terhadap suami dan berakhlak pula, tentu ia akan menjadi penghibur dalam rumahtangga.
Oleh itu wahai isteri, hendaklah berlumba-lumba untuk menjadi seorang isteri yang solehah, yang bertakwa, berakhlak mulia dan taat kepada suami. Rasulullah bersabda, yang bermaksud: "Sungguh-sungguh memintakan ampun untuk seorang isteri yang berbakti kepada suaminya, iaitu burung-burung di udara, ikan-ikan di air dan malaikat di langit selama dia sentiasa dalam kerelaan suaminya."
Jika seorang isteri mengharap cintanya berbalas, maka banyakkan mencari keredhaan Allah melalui keredhaan suami.
Mencari Kebahagiaan Hati
Ulama telah mengatakan untuk mendapat hati yang baik seseorang itu mestilah:
1. SENTIASA MERASAKAN DIRINYA BERTUHAN.
Apabila disebut Allah timbul rasa gerun. Hati dapat merasakan Allah melihat semua perilakunya. Terasa betapa lemah dan kecilnya diri berbanding ciptaan-ciptaan Allah.
2. SENTIASA BERASA BERSYUKUR.
Rasa bersyukur tidak setakat sewaktu menerima nikmat bahkan tatkala menerima ujian yang mendatang bererti perhatian Allah, menambah pahala sabar dan menghilangkan dosa.
" Jika kamu bersyukur atas nikmatKU, akan KU tambah nikmat itu " (Ibrahim -7 )
3. RASA UNTUK IKHLAS.
Keikhlasan mencetuskan kejujuran, kasih sayang, harmoni serta membuahkan keamanan dan kedamaian.
- SEMUA INI MENGARAH KEPADA KEBAHAGIAAN, APA ERTI HIDUP TANPA BAHAGIA -
Friday, February 26, 2010
Cahaya Selawat
Ya Rasul salam alaika
Ya Habib salam alaika
Solawatullah alaika
Ya Rasul kau bawa cahaya
Menyinari alam buana
Bumi tandus
Subur kembali
Rasa gembira di hati
Lahirmu membawa rahmat
Memimpin ke jalan selamat
Akhlakmu yang sungguh memikat
Contoh buat seluruh umat
Mulianya pengorbananmu
Kebaikan yang kau seru
Biarpun halangan menimpa
Namun dirimu tetap tabah
Ya Muhammad yang berjasa
Quran dan sunnahlah pusaka
Menjadi panduan manusia
Untuk hidup aman sentosa
(Raihan)
Monday, February 8, 2010
Keinsafan
Dingin terasa memecah kesunyian malam
Dan aku di sini sendiri dibaluti resah
Dibayangi sesal yang tak sudah
Renung langit sepi tiada purnama
Di dalam kelam terlihat bayangku sendiri
Terpaku membisu tanpa suara dan segala
Apa petanda, apa rahsia
Oh Tuhanku Yang Maha Esa
Maha Pengasih Maha Pemurah
Andainya malam yang begini memberi pengertian
Untukku mencari hidayahMu
Maka kutadahkan setulus pengampunan dan pengharapan
Untuk aku menebus dosa-dosa semalam
Cukup setakat ini
Aku merasa terasing, terhukum dan sengsara
Balasan dari kehancuran yang aku ciptakan
Dan kini aku mengerti antara dosa, pahala
Yang mana lebih utama dalam meniti
Kehidupan dan hari kematian
Andai malam ini satu peringatan
Bersyukur pada Illahi
Andai malam ini satu kesudahan
Kupintakan satu penangguhan
Untukku melafazkan
Kalimah terakhir..
- Krabat -
(lirik yang begitu menginsafkan, menyedarkan pada kekhilafan yang dilakukan sama ada sedar atau tidak)
Saturday, February 6, 2010
10 Wasiat Hassan Al-Banna
2)Wahai kawanku, bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalulah berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangilah dengan masa yang tidak bertujuan. Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat. Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir!!! Di sini ada ketenteraman. Di sini ada kedamaian. Di sini ada kesalaman. Jadilah hamba yang sejahtera.
3)Wahai kawanku, dorongkanlah diri untuk menguasai Bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda telah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari. Sebut dulu walaupun tak faham. Antara mala petaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Juga mengutamakan bahasa pasar, Ayuh !!! Apa tunggu lagi?????? Bukalah ruang walaupun seminit!!!
4)Wahai kawanku, usahlah bertarung idea tanpa adabnya!!! Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran. Kerana di sana ada unsur lain membisikkan? Syaitannnn namanya!!!
5)Wahai kawanku, senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa !!! Rasulullah s. a. w adalah yang paling banyak senyum. Beliau ketawa kena pada tempatnya. Tapi berpada-pada sahaja, wahai kawan! Plato juga berharap agar pementasan hiburan yang tidak bermutu terlalu banyak ketawa bodoh, hanyalah disaksikan oleh golongan abdi dan orang upahan asing! Begitu juga Aritotle berpendapat supaya golongan belia ditegah daripada menyaksikan hiburan-hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan. Supaya tidak menular keburukan dalam diri!!!
6)Wahai kawanku, seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan!!! Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu yang sibuk dengan berfikir. Ubati dengan bergurau. Tapi kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas. Seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.
7)Wahai kawanku, kawallah nada suaramu. Setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakit hati orang lain pula!!! Luqman El-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya. Itulah katanya suara keldai!!! Surah al-Isra' memberi tip kepada kita... Jangan keraskan suramu dalam solat tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah diantara keduanya.
8)Wahai kawanku, usahlah umpat mengumpat. Usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh!!! Hindarilah...mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah-jemaah lain!!! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama. Sukakah anda memakan daging pasti anda suka!! Tapi sukakah anda memakan daging kawan anda yang telah mati?? Sekali-kali tidak!!! Begitulah dosa orang yang mengumpat. Bertaubatlah jika anda mengumpat. Tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu bersama!!! Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie:
* untuk menuntut keadilan apabila dizalimi
* untuk menghapuskan kemungkaran
* kerana memberi amaran kepada Muslim tentang kejahatan
* kerana mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.
9)Wahai kawanku, luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekalipun mereka tidak diminta berbuat demikian!!! Salam kasih sayang adalah untuk semua. Salam kemesraan adalah untuk sejagat. Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan...! Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa datang berkunjung!!! Pelbagai lapisan datang berkunjung!!! Pelbagai darjat datang berkunjung!!! Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.
10)Wahai kawanku, maksimumkanlah faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan. Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda! Bersegeralah, kerana... Sabda Nabi s. a. w bermaksud: "Bertindak segeralah melakukan amal..." (Diulang 7 kali..). Sayanglah masa saudaramu!!! Hormatilah waktu mereka!!! Usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya..
YA ALLAH KAU SATUKANLAH HATI KAMI DI DALAM PANJI AGAMA ISLAM DAN KEIMANAN YANG TEGUH KEPADAMU YA RABBUL IZZATI. KUPOHON PADAMU YANG MAHA PENGASIH, JANGAN KAU PALINGKAN HATI KAMI SESUDAH ENGKAU MEMBERI PETUNJUK YANG BENAR KEPADA KAMI. MOGA KAMI SENTIASA BERADA DI BAWAH LINDUNGANMU...AMIN...